Saturday, December 27, 2008

pengajaran buat MU BUSH....(semak)


video

Bush dibaling kasut oleh wartawan Iraq

BEBERAPA hos rancangan larut malam televisyen Amerika Syarikat (AS) mempersendakan Presiden George W Bush yang diserang kasut terbang ketika mengadakan sidang akhbar di Baghdad awal minggu ini. Ada yang melakonkan semula kejadian mengaibkan itu dan ada pula berkata, akhirnya umum dapat juga tahu satu-satunya perkara yang Bush pandai buat - mengelak terkena objek terbang. Bukan sekali tetapi dua kali Bush membuktikan beliau pandai mengelak. Presiden Amerika itu mengambil ringan kejadian berkenaan dengan menyatakan beliau bukan hanya pandai mengelak kasut tetapi juga cekap mengelak daripada menjawab soalan dikemukakan wartawan.


Menurut Bush, beliau tidak mengetahui apa yang mendorong wartawan televisyen Iraq, Muntazer al-Zaidi melakukan serangan itu dan beliau tidak berasa terancam oleh tindakan pemuda itu. Faham atau pura-pura tidak faham, agak mustahil bagi Bush sekarang untuk melenyapkan kejadian itu daripada ingatan ramai. Besar kemungkinan kejadian itu akan menjadi imej tunggal disimpan umum berhubung tempoh pemerintahan Bush selama lapan tahun yang akan berakhir 20 Januari ini.

Bush dan kasut, begitulah imej yang mungkin akan dicetuskan apabila nama presiden ke-43 AS itu disebut. Malah, imej itu sudah pun kelihatan di Iraq dan juga Palestin di mana kasut dan gambar Bush diarak oleh penunjuk perasaan sebagai simbol kemarahan mereka terhadap dasar AS. Memang benar, ia sangat mengaibkan tetapi itulah hakikatnya, Bush amat dibenci di dunia Arab. Tindakan Zaidi membaling sepasang kasut ke arah Bush membawa mesej jelas walaupun Bush pura-pura tidak memahaminya. Tindakan wartawan Iraq itu bukan hanya menyatakan bantahan ke atas pencerobohan Iraq oleh tentera AS tetapi juga sebagai usaha mengaibkan Bush untuk selama-lamanya.

Seorang pengulas dari Mesir berkata, ketika diwawancara televisyen Al-Hayat, jika Bush tidak faham perjuangan wartawan itu dan mesej di sebalik kasut terbang, Barack Obama mungkin lebih memahaminya dan akan memulihkan segala yang dirosakkan oleh Bush. Rata-rata reaksi dunia Arab mengalu-alukan serangan berkenaan. "Ucapan selamat tinggal yang wajar kepada seorang penjenayah perang," jerit tajuk ulasan muka depan akhbar Al-Quds Al-Arabi yang berpangkalan di London. Akhbar itu berkata, Bush tidak dialu-alukan sebagai wira pembebasan dengan diberi bunga tetapi dilempar kasut. Akhbar Jordan, Al-Ghad juga mengalu-alukan tindakan wartawan Iraq itu. "Membaling kasut ke arah Bush adalah kucupan selamat tinggal terbaik. Ia mencerminkan betapa bencinya orang Iraq dan Arab terhadap Bush... Beliau adalah pemerintah kuku besi dan mendapat balasan mengaibkan di atas perbuatannya membawa kemusnahan dan kesengsaraan kepada berjuta orang di seluruh dunia." Kumpulan hak asasi di dunia Arab turut mengalu-alukan tindakan Zaidi itu dengan menyatakan ia adalah tindak balas semula jadi terhadap perang dibawa Bush ke Iraq. Dari segi etika kewartawanan, apa dilakukan Zaidi tetap salah. Tidak siapa boleh mewajarkan perbuatan itu kerana apabila seseorang memanggil sidang akhbar, beliau berhak beranggapan wartawan akan bersikap profesional. Namun, tidak mungkin kita yang hidup dalam dunia serba aman ini dapat menyelami perasaan seseorang yang hidup di dunia yang penuh bergolak seperti Iraq. Mungkin selepas mengharungi apa yang dialami penduduk Iraq sejak lima tahun lalu, barulah kita memahami mengapa Zaidi membaling kasut itu.

0 comments: