Saturday, September 20, 2008

...raikan kehadirannya...

Peredaran hari di bulan mulia ini seakan Buraq membawa Rasulullah ke sidratul muntaha, menggambarkan secara hiperbola betapa pantasnya masa yang berlalu. Ramadhan adalah bulan yang amat significant dengan umat Islam kerana pada bulan inilah pelbagai kelebihan yang Allah kurniakan kepada umat Muhammad ini. Bermula daripada pembelengguan syaitan di neraka, penggandaan pahala amal ibadah sehingga dianugerahkan satu hari di bulan ini diumpamakan amalan seribu bulan seterusnya ditutupnya pintu-pintu neraka dan dibuka seluasnya pintu-pintu syurga. Pelbagai lagi kenikmatan dan anugerah Allah berikan pada bulan mulia ini. Namun, sejauhmana ianya dihargai, bergantung pada keimanan individu muslim itu sendiri. Sempena sambutan Nuzul Quran, 17 Ramadhan, tarikh berlakunya peperangan pertama dalam sejarah umat Muhammad, Perang Badar, satu perkongsian ilmu hasil daripada ceramah Nuzul Quran bertajuk Penghayatan Islam Dalam Konteks Masa Kini. Penghayatan Islam pada konteks zaman cyber ini sebenarnya boleh dikatakan begitu rendah sekali.
Sempena penurunan ayatul Quran yang pertama, Iqra’ bermaksud, Bacalah, menggambarkan bahawa perintah Allah yang pertama kepada umat Islam adalah pembacaan (pengkajian tentang alam ciptaan Allah). Namun, penghayatan dalam suruhan Allah ini tidak diambil berat, maka lahirlah umat Islam masa kini yang ditindas oleh kuffar laknatullah dari segi pemikiran, harta benda dan sebagainya. Hal ini dibincangkan daripada konteks yang umum yang boleh dilihat dengan mata kasar dan ditafsir secara spontan. Apatah lagi peperangan yang berlaku secara senyap namun mampu merosakkan aqidah umat Islam secara dasarnya. Terdapat dua Iqra’ yang disebutkan di dalam Al-Quran, Iqra’ pertama Allah memerintahkan hambanya untuk membaca dan mengkaji ciptaan Allah berdasarkan alam ciptaan-Nya yang terbentang luas (juga pengkajian Al-Quran). Iqra’ kedua Allah memerintahkan supaya hambanya mengkaji Zat Allah untuk menambahkan keimanan kepada Allah Taala (mengkaji siapa Allah – lebih kepada aqidah – Tawhid Rabbubiyah dan Uluhiyah). Ibrah daripada kedua Iqra’ ini menunjukkan bahawa Allah memerintahkan kita untuk mencari ilmu dahulu / berilmu, barulah Allah memerintahkan untuk kita menyembahnya.
Pengkajian terhadap Al-Quran di mana mengandungi 6666 ayat, sebenarnya terbahagi kepada 9 pembahagian di mana apabila dicampurkan kesemua ayat ini jumlahnya adalah 6666. Bahagian pertama adalah ayatul Amar (Perintah daripada Allah) – disebut di dalam Al-Quran sebanyak 1000 kali. Kedua, ayatul Nahi (Larangan Allah kepada hambanya)- disebut sebanyak 1000 kali. Ketiga, ayatul Wa’at (Janji baik yang Allah berikan untuk hambanya) – disebut 1000 kali. Keempat, ayatul Wa’it (Janji Azab Allah kepada hambanya yang ingkar) – disebut 1000 kali. Kelima, ayat-ayat yang berkisar Kisah/cerita-cerita – disebut 1000 kali. Keenam, ayat Quran tentang tauladan (iktibar)/sempadan – disebut 1000 kali. Seterusnya, ketujuh, ayat tentang hukum-hukum Allah – disebut 400 kali. Kelapan, ayatul Quran tentang doa-doa – disebut 200 kali dan yang kesembilan ayat-ayat nasakh (ayat yang dinasakhkan apabila turun ayatul Quran yang lain atau pun Hadith sahih) – terdapat 66 ayat. Secara keseluruhannya, terdapat 6666 ayat yang terkandung di dalam kitab mukjizat ini, merupakan panduan umat Muhammad ini untuk mentadbir dunia ini.
Di dalam Al-Quran ini, Allah telah memberikan 4 perkara untuk rujukan kepada kita sepanjang hidup demi mengelakkan berlakunya peperangan, pergaduhan dan sebagainya. Pertama, tentang Ibadah/ketuhanan (memilih agama tauhid sebagai landasan), kedua, Muamalat (tentang adab perhubungan dengan sesama manusia), ketiga, Munakahat (tentang kekeluargaan – perkahwinan, wasiat dan sebagainya) dan yang keempat adalah Jenayat (hukuman kepada perbuatan jenayah – berkaitan jenayah). Konklusi daripada perkongsian ilmu ini, Al-Quran merupakan panduan kepada kehidupan kita di dunia ini. Segala ilmu, cara hidup dan sebagainya telah dirakamkan di dalam al-Quran sebagai landasan kepada kita agar tidak tergelincir ke lembah kemurkaan Allah. Moga, bermula Ramadhan tahun ini, kita mampu mengubah hidup kita agar lebih baik dan lebih berdisiplin serta mampu menjadi madrasah terbiyyah kepada kehidupan seterusnya.

kalam_suci

Wednesday, September 17, 2008

…SALAM TAUTAN UKHUWAH…


السلا م عليكم ورحمة الله وبركاته

Setelah lama memendam perasaan untuk memiliki blog sendiri, akhirnya alhamdulillah tertunai juga impian kecil di hati ini. Manfaatnya yang pelbagai membuatkan hati benar-benar mahu menggunakan semaksima mungkin kelebihan medium maya ini. Salam perkenalan kepada semua umat manusia di bumi ini umumnya dan kepada bloggers khususnya. Harapan semoga, melalui medium ini hubungan silaturrahim terjana agar dapat mencetuskan satu gelombang pemikiran yang kritikal, InsyaALLAH.

kalam_suci