Guru diibaratkan sebagai lilin yang menerangi muridnya dengan ilmu. Pengganti ayah dan ibu di dalam kelas. Guru membentuk disiplin anak-anak, dilentur agar betul tegaknya apabila sudah dewasa. Dia mengajar 'anaknya' bagaimana cara menyebut, menulis, membaca. Mengajar agar tahu tegak dan bengkoknya cara solat, cara makan dan sebagainya. Bukan itu sahaja, bahkan untuk menjadikan anak murid sebagai seorang manusia yang berguna dan mempunyai cita-cita.Lihatlah, yang menjadi pemimpin, menjadi ahli perniagaan semuanya atas jasa pejuang yang tidak bernama ini. Kerana guru, tidak diajar untuk menerima balas jasa, tidak inginkan namanya disebut. Cukup dengan ilmu yang diajar dapat diamal, dihayati. Mudah-mudahan menjadi amal jariah di kemudian hari. Fahamkah ibu ayah yang dahulunya juga pernah diajar oleh gurunya? Anak-anak perlukan bimbingan dan perhatian di rumah. Bukunya disemak, dilihat kerja rumahnya, ditanyakan siapa kawan-kawannya.
Malanglah sang guru, kerana segelintir perbuatan individu ‘guru’ yang tidak bertanggungjawab, maka semua nodanya di taburkan kepada seluruh insan yang bergelar guru. Disebut-sebut perbuatan guru memukul anaknya – adakah mereka tahu benar peribadi anak sendiri? Ditunding-tunding kesalahan sang guru, padahal mereka lupa. Menyerahkan tanggungjawab, tidaklah sama dengan melaksanakan tanggungjawab. Tidak sama juga dengan orang yang hanya pandai memerhatikan dan mengkritik dengan yang duduk dibangku seorang guru.Mereka berkata kerja guru senang, 6 jam sehari, ada hari cuti yang panjang. Boleh makan angin lagi. Ya, memang kerja guru senang. Perlu bersengkang mata memikirkan perihal anak muridnya sahaja, perlu menanda buku, mengikuti kursus, belum dicampur dengan karenah pentadbiran sekolah, kelas tambahannya, program sampingan sukan sekolah. Yang sudah berkahwin perlu memikirkan keluarga mereka sendiri. Tidur malamnya selalu nyenyak. Mudahnya kerja guru.. Dari A hingga ke Z guru mengajar, dari berdiri tegak sehingga memberi salam diasuh agar muridnya menjadi orang yang tahu Islam. Ada guru yang menyerahkan jiwa raganya di dalam profesion ini, memberi motivasi dan semangat agar anak didiknya terus berjaya. Yang malas, yang suka bermain di dalam kelas, yang hanya tahu tidur, masih tergagap untuk membaca, tidak kenal huruf dan merangkak menyebut perkataan – disuakan dengan teknik belajar. Tidak lupa sang guru untuk mengingatkan anak didiknya itu silalah ulangkaji, tunjukkan pada ibu dan ayah mana yang perlu dibuat dan disemak semula.
Tetapi yang lebih difahami - anaknya mesti mendapat semua A apabila mendapat keputusan peperiksaan. "Anak aku pintar, bijak" Dan semuanya diakhiri dengan perkataan 'AKU' juga. Sang guru memberi nasihat “Awak dah belajar solatkan.. kat rumah solat dengan mak ayah ye..”, lalu dia membalas “mak ayah saya tidak solat cikgu.. nak buat camane?”. Dan sang guru tergumam.Sebagai seorang ayah dan ibu di dalam kelas, ia tidak senang melepaskan anaknya balik ke rumah tanpa membawa apa-apa yang bermakna di dalam kehidupan. Lalu diberi peringatan – bahawa hormati ibu dan bapa, cium tangan mereka, minta maaf kepadanya. Jangan segan untuk meringankan tulang. Berilah khabar gembira apabila sudah berjaya…Begitulah… sang guru tetap juga meneruskan pengajaran dan didikannya dengan sabar, walaupun saban waktu hatinya menahan kerana herdikan, cacian dan cemuhan. Dan itulah dosa-dosa guru kerana mendidik anak muridnya...
p/s: ingin daku mencium tangan guru-guruku yang banyak menabur jasa dalam memberiku cahaya untuk menerangi kegelapan jalan hidupku...
http://jarumemas.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment