Saturday, January 10, 2009

Mahasiswa Boleh Sertai Protes Israel



KUALA LUMPUR: Pelajar universiti di negara ini dibenarkan menyertai perhimpunan aman yang dirancang bagi membantah tindakan kejam Israel terhadap Palestin, manakala pihak universiti pula boleh menganjurkan bantahan seumpama itu. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kementerian tidak mempunyai halangan untuk pelajar dan universiti menyertai bantahan itu, selaras dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang diluluskan Parlimen bulan lalu.


“Rakyat pelbagai lapisan dapat bersatu melahirkan pendirian kita mengenai keganasan dan saya percaya kita tidak dapat menerima tindakan yang menyebabkan kematian, kerosakan serta kesengsaraan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Kepimpinan Masa Depan Malaysia di Universiti Malaya (UM) di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pelajar IPTA boleh menyertai gerakan besar-besaran bagi menunjukkan bantahan terhadap pencabulan dan keganasan Israel di Semenanjung Gaza yang akan diadakan Pemuda Umno. Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, semalam dilaporkan berkata, gerakan massa secara besar-besaran oleh setiap lapisan masyarakat Malaysia melalui pertubuhan bukan kerajaan itu sudah diambil maklum dan dipersetujui oleh Kabinet.


Sementara itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran ketika bercakap kepada pemberita di Putrajaya, semalam berkata, pihaknya akan menggembleng lima juta pelajar dan lebih 300,000 guru dari sekolah di seluruh negara bagi menyertai gerakan besar-besaran itu. Sementara itu, semua pihak tanpa mengira parti, kaum dan agama, termasuk NGO turut menyatakan sokongan terhadap gerakan itu dan sanggup untuk menyertai gerakan menyuarakan bantahan rakyat terhadap rejim Zionis. Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, ketika dihubungi berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Putera MCA dan MIC dalam waktu terdekat ini bagi mengambil langkah yang perlu untuk menyelaraskan gerakan itu.


Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar berkata, parti itu akan mengetepikan sebarang sentimen politik dan sedia menyertai gerakan iti kerana membabitkan isu berkaitan kemanusiaan sejagat, khususnya kepentingan penduduk Palestin.

0 comments: